Wednesday, July 28, 2010

JADUAL SPESIFIKASI UJIAN (JSU)

Jadual Spesifikasi Ujian

DEFINISI

JSU merupakan instrumen yang akan menghuraikan aspek-aspek pencapaian yang hendak diukur serta memberikan panduan untuk mendapatkan satu sampel item-item soalan.
Kepentingan JSU
• Dapat mengelakkan ujian yang dibina secara sembarangan dan dapat dilakukan secara terancang dan rapi.
• Dalam JSU, bilangan soalan bagi sesuatu tajuk diberi berdasarkan pentingnya tajuk atau objektif pelajaran
• Akan menjamin kesahan dan kebolehpercayaan ujian.
• Membolehkan ujian yang sama dibina oleh orang lain.
• Dapat menstabilkan taraf dan aras kesukaran ujian dari setahun ke setahun.
• Perbandingan dapat dibuat di antara satu ujian dengan ujian yang lain

Langkah-langkah Penyedian JSU (Jadual Spesifikasi Ujian)
JSU mengandungi maklumat tentang:
• Bentuk dan panjangnya ujian
• Aras kesukaran dan juga aras kemahiran yang diuji
• JSU yang dirancang dengan baik akan menolong dalam penentuan kesahan dan kebolehpercayaan ujian itu.
• Pembahagian soalan untuk tiap-tiap unit kandungan mesti sama dengan penegasan yang diberi dalam pengajaran.
• Kepentingan aras mesti bersesuaian dengan kebolehan murid-murid yang akan diuji.
• Terdapat dua jenis soalan yang boleh digunakan iaitu soalan objektif dan soalan subjektif.
• Penggubal soalan mesti menentukan jumlah soalan untuk ujian itu.
• Masa mestilah cukup supaya 80% daripada murid-murid dapat menjawab soalan.

Langkah pertama
1. Menyenaraikan tajuk-tajuk yang hendak diuji
2. Mengira jumlah masa bagi setiap tajuk yang diajar.

Langkah dua
1. Menentukan soalan yang ingin dibina.
Contohnya;
soalan subjektif atau soalan objektif (bergantung kepada format)
2. Meletakkan jumlah soalan bagi setiap topik.

Langkah tiga
1. Menentukan aras kesukaran
2. Menentukan model aras kesukaran model (JSU)
3. Lazimnya JSU mengamalkan Taksonomi Objektif Pendidikan Bloom.

Langkah empat
1. Memastikan jenis ujian yang akan/ hendak diuji.
2. Jenis soalan yang boleh digunakan; ujian objektif, ujian esei, dan lain-lain. (bergantung kepada format)

Langkah Lima
1. Menentukan bilangan soalan bagi setiap komponen
2. Penentuan aras kesukaran soalan ( soalan mudah kepada soalan susah)
3. Menetapkan pemarkahan.

Langkah enam
1. Menyatakan matapelajaran
2. Tingkatan atau kelas
3. Susunan nombor soalan mengikut tajuk.

Monday, July 5, 2010

ISL-M-1(27/06/2010 - 01/07/2010) ; Konsep Penilaian, Pengujian dan Pentaksiran

1.1 Pengertian Penilaian

Apakah itu penilaian pendidikan? Menurut Stufflebeam (1971), penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita. Penilaian menentukan jurang perbezaan antara “apa yang dihasilkan” dengan “apa yang dihasratkan” dari sesuatu program pendidikan. Penilaian merupakan pertimbangan profesional iaitu proses yang membolehkan seseorang membuat keputusan.

Meskipun banyak definisi penilaian pendidikan dikemukakan oleh pakar-pakar seperti Stufflebeam (1971), Thorndike dan Hagen (1977) dan Kubiszyn dan Borich (1996), pada asasnya penilaian merupakan suatu proses membuat keputusan yang sistematik melibatkan pengenalpastian, pemerolehan dan pentafsiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada sesuatu objektif pendidikan. Dari segi pengajaran dan pembelajaran di universiti, penilaian boleh didefinisikan secara ringkas sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran di dewan kuliah dan makmal dicapai.

Definisi penilaian ini membawa maksud objektif pengajaran perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum penentuan pencapaian objektif tersebut dibuat berasaskan pertimbangan terhadap bukti empirikal. Bukti empirikal pencapaian biasanya diperoleh secara pengukuran terhadap penguasaan pelajar dengan menggunakan alat ukur yang dinamakan ujian. Namun, perkembangan dalam bidang penilaian menunjukkan banyak cara kita boleh menilai pengajaran pensyarah. Antara pelbagai jenis penilaian yang sering dilakukan di universiti adalah penilaian terhadap disertasi, projek, kajian kes, portfolio, bengkel, seminar, oral pelajar. Bukti empirikal dikumpul secara sistematik berasaskan maklumat sahih, tekal, telus dan boleh dipertahankan. Tanpa bukti empirikal, pertimbangan terhadap pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran mungkin dibuat berasaskan pendapat iaitu pertimbangan nilai bersifat subjektif, pincang dan rapuh.

Kuantifikasi dan Kualifikasi Dalam Penilaian

Penilaian pendidikan membabitkan dua unsur utama iaitu kuantifikasi dan kualifikasi. Kuantifikasi menggunakan ujian bagi mengukur kewujudan bukti empirikal penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus yang diajar. Kualifikasi menggunakan pertimbangan nilai terhadap bukti empirikal penguasaan pelajar bagi membuat keputusan sama ada objektif pengajaran dan pembelajaran dicapai atau tidak.

Bukti empirikal penguasaan pelajar dalam bentuk skor yang sahih dan boleh dipercayai sangat diperlukan bagi membuat penilaian. Keperluan ini adalah kerana setiap keputusan yang dibuat melibatkan risiko. Bukti empirikal membantu kita membuat keputusan dengan risiko yang kecil. Semakin tepat pensyarah mengukur pencapaian pelajar, semakin tepat penilaian pensyarah terhadap keberkesanan pengajarannya.

Aktiviti 1
a. Cuba fikirkan apakah matlamat pensyarah mengajar sesuatu kursus di bilik kuliah dan makmal.
b. Apakah peranan penilaian dalam memastikan bahawa matlamat pengajarannya dicapai?
c. Apakah aspek-aspek penilaian yang perlu diperhatikan oleh pensyarah bagi memastikan matlamat pengajarannya dicapai?
d. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pensyarah bagi memastikan matlamat pengajarannya tercapai?
e. Senaraikan risiko yang berkait dengan keputusan pensyarah untuk membuat keputusan sama ada pengajarannya berkesan atau tidak berkesan.

1.2 Pengertian Pentaksiran dan Pengukuran

Kesahan bukti empirikal yang digunakan bagi penilaian sangat bergantung kepada sejauh mana pensyarah berupaya mengkuantifikasikan dengan tepat kewujudan atribut atau ciri penguasaan pelajar yang digunakan sebagai asas penilaian. Pentaksiran adalah suatu proses yang meliputi pelbagai kaedah untuk menentukan tahap sesuatu ciri atau atribut yang diperolehi seseorang individu. Pengukuran merupakan suatu proses kuantifikasi dengan memberi nilai angka kepada kewujudan sesuatu ciri dan atribut. Dalam pengajaran dan pembelajaran di universiti, kewujudan ciri “penguasaan” sesuatu isi kursus yang diajar oleh pensyarah pada pelajar dikuantifikasikan dengan memberi skor ujian.

Aktiviti 2
a. Cuba fikirkan yang mana lebih berkesan: meyakinkan seseorang dengan pendapat atau dengan angka? Berikan alasan mengapa anda berfikiran sedemikian?
b. Perkembangan sains selalu dikaitkan dengan angka. Cuba fikirkan bagaimanakah pengukuran membantu membangunkan bidang sains.
c. Sejauh mana kebenaran kata-kata Edward Thorndike (1914): “Jika sesuatu perkara itu wujud, ia wujud pada jumlah tertentu. Jika ia wujud pada jumlah tertentu, maka kita boleh mengukurnya”.

1.3 Pengertian Pengujian

Pengujian merupakan proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan supaya pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus di universiti. Ujian adalah alat ukur. Ujian digunakan bagi mengukur ‘penguasaan’ pelajar dalam sesuatu kursus. Ujian mengandungi satu set tugasan (dalam bentuk tugasan) yang berdasarkan sesuatu kursus bagi merangsang pelajar untuk ‘menunjukkan’ tahap penguasaan mereka dalam kursus berkenaan. Tahap penguasaan pelajar biasanya dikuantifikasikan dengan memberi skor kepada jawapan yang diberi.

Memandangkan ujian merupakan alat ukur yang sering digunakan untuk mendapatkan bukti empirik bagi tujuan penilaian pengajaran dan pembelajaran di universiti, tumpuan perlu diberi bagi membina ujian yang bermutu, mentadbir ujian berkenaan dengan betul dan mentafsir dapatannya dengan tepat. Kita perlu memastikan penilaian terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan sempurna dan boleh dipertahankan. Satu daripada cara-cara memastikan ini berlaku ialah dengan menjalankan pengujian yang berkualiti.

Aktiviti 3
a. Cuba fikirkan apakah cara lain untuk mendapatkan bukti penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus selain daripada pengujian?
b. Senaraikan apakah ciri-ciri ujian sebagai alat ukur yang sahih?
c. Fikirkan bagaimanakah ujian yang baik boleh dibina?
d. Terangkan bagaimanakah pengujian boleh dilaksanakan dengan berkesan?